BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Urusan politik terbuka perbahasan fiqh, Islam tegas isu akidah

Kehidupan seseorang muslim terikat dengan akidah yang dianutinya. Dua kalimat syahadah ialah ungkapan yang ringkas tapi menegaskan keimanan seseorang kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Kesannya, setiap tindak-tanduk muslim hendaklah bertepatan serta tidak bertentangan dengan suruhan, larangan dan kebenaran syarak sebagaimana terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Keimanan sahaja tidak memadai kerana akidah memerlukan pembuktian menerusi amalan. Ini antara rahsia kenapa ayat “orang yang beriman dan beramal saleh” sentiasa disebut secara beriringan. Keimanan hendaklah dibuktikan dengan amalan.

Antara bentuk amalan ialah ibadat khusus berupa solat, puasa, haji dan sebagainya. Antara amalan lain ialah urusan kekeluargaan, kemasyarakatan dan hal ehwal politik.

Justeru, benarlah kenyataan bahawa Islam dan politik tidak boleh dipisahkan. Setiap tindakan seseorang muslim akan dihitung oleh Allah. Tapi persoalannya ialah bagaimana bentuk hubungan itu?

Cabang agama

Kalau akidah dikenali sebagai dasar (usul) agama, politik pula termasuk dalam cabang (furu’) agama. Akidah berkaitan sistem kepercayaan, manakala politik pula berkaitan dengan amalan yang tertakluk kepada perbahasan fiqh.

Imam al-Ghazali menyebut dalam karyanya al-Iqtisad fi al-I’tiqad (Perihal Kesederhanaan Dalam Beriktikad) bahawa urusan kepemimpinan (imamah) tidak termasuk dalam perkara-perkara utama agama.

Kenyataan al-Ghazali itu konsisten dengan pandangan para ulama aliran Sunni yang menyebut bahawa politik adalah cabang agama dan bukannya dasar. Matan terkenal akidah, Jawharah al-Tawhid oleh Sheikh Ibrahim al-Laqqani merumuskan bahawa:

“Urusan pelantikan pemimpin bukanlah rukun yang dijadikan akidah dalam agama.”

Pegangan Sunni ini berbeza dengan kelompok Syiah dan Khawarij yang menjadikan perbincangan politik termasuk dalam ruang akidah.

Malah, antara faktor perbahasan tentang imamah (kepemimpinan) dimasukkan dalam karya akidah oleh aliran Sunni adalah kerana membantah golongan yang menganggapnya sebagai akidah atau dasar agama.

Dalam masa sama, ulama Sunni turut mempertegas bahawa politik hanyalah cabang agama.

Perbezaan antara pandangan dan keputusan politik hanya akan melibatkan “betul” atau “salah” sahaja, bukannya “Islam” dan “kufur”.

Pertembungan dalam politik terutamanya dalam negara Islam ialah pertembungan antara idea dan tindakan, bukan antara iman dan kekufuran.

Politik Islam

Sekiranya perbincangan akidah memerlukan dalil khusus dan jelas sebelum menerima sesuatu sebagai akidah, perbincangan politik pula tidak semestinya memerlukan sandaran dalil khusus. Malah, sebagaimana kata-kata terkenal Imam Ibn ‘Aqil:

“Politik menurut syarak itu ialah tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan tidak diturunkan wahyu mengenainya.”

Kalau kita memperakui politik sebagai “cabang” yang tentulah di ruang fiqh, maka kita perlu tahu bahawa dalam kalangan perbahasan fiqh itu sendiri perbahasan politik lebih anjal berbanding yang lain.

Politik bukan di ruang fiqh ibadat yang terkenal lebih tegas dari segi pendalilannya.

Solat, puasa, haji, umrah dan lain-lain urusan ibadat hanya boleh dilakukan menurut dalil-dalil al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas.

Namun, politik pula berorientasikan “kebaikan” dan “keburukan” sebagaimana kata-kata Ibn ‘Aqil sebentar tadi.

Selain melakukan yang baik dan meninggalkan yang buruk, politik juga bermaksud memilih yang paling baik dalam kalangan yang baik dan menolak yang paling buruk dalam kalangan yang buruk.

Oleh sebab itu, politik Islam bukan sahaja menerima idea-idea baharu untuk dilaksanakan, malah boleh menerima model dan amalan pentadbiran tamadun selain Islam.

Syaratnya model dan amalan boleh membawa kebaikan kepada masyarakat dan tidak bercanggah dengan syarak.

Antara contoh paling jelas ialah penerimaan ulama terhadap amalan demokrasi dalam memilih pemimpin dan pentadbiran negara.

Para ulama seperti Ibn ‘Ashur, Abdul Razaq al-Sanhuri, Muhammad al-Ghazali, Yusuf al-Qaradawi dan ramai lagi menerima amalan demokrasi walaupun sejarah kemunculannya bukan daripada tamadun Islam.

Walaupun ada kekurangan, tapi amalan ini dilihat boleh merealisasikan prinsip-prinsip Islam berkaitan pentadbiran seperti prinsip syura, keadilan, hak rakyat, semak imbang dan sebagainya.

Kita boleh katakan bahawa politik Islam dipandu oleh prinsip dan nilai agama seperti keadilan, kebajikan, amanah dan lain-lain. Dalam masa sama, kaedah pelaksanaan prinsip dan nilai itu terbuka kepada perubahan dan cabaran zaman.

Politik ialah seni yang mencabar. Pengamalnya perlu memahami aspirasi agama dan berbuat sehabis baik demi kebaikan rakyat dan negara.

Agama hendaklah memandu dan dimanfaatkan, bukannya diperalat demi kepentingan parti.

Tindakan memperalat berbanding memanfaat akan mengakibatkan perbezaan yang asalnya antara “betul” dan “salah” akhirnya menjadi ruang menuduh lawan sebagai “kafir”, “munafik” dan gelaran-gelaran lain.

* Marwan adalah penulis dan penterjemah lulusan Universiti Yarmouk, Jordan dan Universiti Sains Islam Malaysia. Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Selangorkini


Pengarang :