BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

Tak perlu layan ‘drama’ FAS selesai isu Stadium Shah Alam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri enggan melayan ‘drama’ Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) yang tidak mahu berunding bagi menyelesaikan isu penggunaan Stadium Shah Alam walaupun pintu rundingan sudah dibuka seluasnya.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, berdasarkan surat terbaru diterima daripada Setiausaha Agung FAS, mereka menyatakan keengganan bertemu beliau.

“Saya sudah jelaskan senarai panjang sikap mereka terhadap Sultan Selangor Cup, mereka gagal menghantar pasukan walaupun diberikan pelepasan. Mereka gagal memberikan maklum balas kepada Kerajaan Negeri.

“Akhirnya, bila kita buka pintu rundingan, surat terbaru yang saya terima daripada Setiausaha Agung FAS, tak nak berjumpa dengan saya.

“Jadi isunya adalah mereka menggunakan isu ini sebagai modal politik, serang Kerajaan Negeri dan jadikan agenda memburukkan Kerajaan Negeri.

“Kita ada pelan sendiri untuk membangunkan bola sepak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan terhadap soalan tambahan dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Katanya, sepanjang 2017, FAS tidak menghantar surat permohonan untuk menggunakan Stadium Shah Alam tetapi hanya berbuat demikian pada penghujung tahun namun enggan bertemu beliau sebaliknya hanya mahu berbincang dengan Dato’ Menteri Besar sahaja walaupun surat perbincangan sudah dihantar.

Beliau berkata, Stadium Shah Alam tidak berhadapan masalah pendapatan walaupun tidak digunakan Red Giants kerana mempunyai dua sektor pendapatan utama.

Menerusi sewa tapak kereta, sebanyak RM971,000 berjaya dikutip bagi tahun 2015, RM1.4 juta untuk 2016 dan RM1.093 juta pada 2017.

Bagi pendapatan menerusi sewa stadium, tahun 2015 mencatatkan pendapatan berjumlah RM2.08 juta, RM2.42 juta pada 2016 dan RM1.9 juta bagi 2017.

“Dari segi fakta saya tunjukkan, pada 2017 kita tidak memberikan peluang kepada Red Giants, kutipannya jauh lebih besar hampir RM2.7 juta berbanding 2016 pada RM2.4 juta.

“Namun masih ada baki RM700,000 yang belum dikutip daripada Majlis Sukan Negara (MSN) sewaan daripada Sukan SEA (Kuala Lumpur 2017) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencatakan jumlah RM2.7 juta bagi tahun 2017,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Darul Ehsan Facilities Management Sdn Berhad (DEFM) dibuat berdasarkan daripada permohonan mereka kerana pengalaman menguruskan Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor dengan kejayaan penjimatan kewangan berjumlah RM4 juta.

=EZY=


Pengarang :