Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang ASP Mustapha Maidin (kanan) dan ASP Azuary Norazmi menunjukkan dua pucuk pistol semi auto jenis Glock dan Beretta serta 90 butir peluru hidup 9mm yang dirampas di kawasan kebun buah-buahan dekat Teluk Bahang pada 26 Mei lalu ketika sidang media oleh Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri pada 2 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis tumpas kumpulan jenayah terancang, tahan 11 suspek

GEORGE TOWN, 2 JUN: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan kumpulan jenayah terancang disyaki aktif dalam kegiatan pengedaran dadah, jenayah dan pemilikan senjata api selepas menahan 11 warga tempatan termasuk seorang warga emas dalam siri serbuan di sekitar negeri itu pada 24 Mei lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri dengan dibantu Bahagian Jenayah Terancang (D14), JSJ Bukit Aman melancarkan Op Cantas Tanjung III sebelum menahan sembilan lelaki dan dua wanita yang kesemuanya berusia 29 hingga 61 tahun itu dalam operasi bermula 12 tengah hari.

“Susulan penahanan mereka, pasukan bahagian Siasatan Khas (D9) JSJ Pulau Pinang pada 1 tengah hari, 26 Mei telah menyerbu sebuah kebun durian di Teluk Bahang, dekat sini dan merampas dua pucuk pistol semi auto jenis Glock dan Beretta bersama 90 butir peluru hidup serta sebutir bom tangan yang disembunyikan di situ oleh kumpulan tersebut.

“Polis telah menghantar senjata api yang dirampas untuk pemeriksaan lanjut dan ujian balistik bagi melihat sekiranya ada kaitan dengan mana-mana kes jenayah lain. Pemeriksaan juga mendapati bom tangan tersebut masih aktif dan ia telah diletupkan di kawasan kebun berkenaan yang terletak di atas bukit, kira-kira dua kilometer dari jalan besar itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya kumpulan tersebut menjadikan kebun milik seorang daripada mereka itu sebagai tempat menyimpan pelbagai senjata api yang digunakan mereka untuk kegiatan pengedaran dadah ke negara jiran dan jenayah.

Mohd Shuhaily berkata berdasarkan siasatan, kumpulan tersebut yang diketuai seorang lelaki berusia 54 tahun yang telah ditahan pada Mac tahun lepas dan ketika ini berada di penjara masih aktif menjalankan kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah ke negara jiran serta jenayah lain di negeri ini sejak tahun lepas.

Katanya semua 11 individu yang ditahan itu kini direman di bawah Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA selama 28 hari mulai 24 Mei hingga 21 Jun ini.

Menurutnya mereka turut turut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 130 V Kanun Keseksaan kerana menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang.

“Polis percaya dengan penahanan 11 individu berkenaan kami telah berjaya menumpaskan kumpulan jenayah terancang tersebut yang terdahulu pada Mac dan November lepas kami telah menahan empat lelaki termasuk ketuanya iaitu pengusaha sukan air di Batu Ferringhi itu.

“Secara keseluruhannya polis merampas enam pucuk senjata api dan 185 butir peluru serta turut merampas 158 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM5.6 juta yang ada kaitan dengan kumpulan tersebut,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :