Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyerahkan sumbangan penghargaan kepada waris pencipta lagu rasmi Selangor, Allahyarham Saiful Bahri Alias sempena Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Anak pencipta lagu Selangor syukur jasa bapa dihargai, terima rumah RM1 juta

SHAH ALAM, 1 SEPT: Anak pencipta lagu rasmi Selangor bersyukur dengan hadiah rumah bernilai RM1 juta daripada Kerajaan Negeri baru-baru ini sekali gus menamatkan penantian selama 29 tahun untuk mendapat pengiktirafan.

Menurut Qus Nafiah, usaha mendapat penghargaan buat Saiful Bahari Elias dimulakan ibu mereka Noraini Ahmad pada 1992 yang bertemu dengan pelbagai pihak termasuk Dato’ Menteri Besar ketika itu namun kesemuanya tidak berhasil sehingga ibunya meninggal dunia pada 1999.

“Selepas itu kami sambung usaha ibu, ada juga jumpa Dato’ Menteri Besar yang lain sebelum in tetapi jawapannya mengecewakan, hanya sekarang bila Dato’ Seri Amirudin Shari, baru ada penghargaan.

“Kami turut tersentuh dengan ucapan beliau (Amirudin) pada malam itu yang menyebut jasa ayah mencipta lagu Selangor,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, Amirudin menyampaikan pengiktirafan itu kepada Qus Nafiah dan empat adik-beradiknya pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos.

Pemuzik itu yang mencipta seni kata lagu Negaraku dan lagu negeri Selangor Duli Yang Maha Mulia serta Melaka meninggal dunia pada 1976 ketika berusia 52 tahun.

Karya gubahan dan susunan Saiful Bahri itu dirasmikan pada 8 Mac 1967 selepas dipersetujui Dewan Diraja Selangor dan diperkenan Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj bagi menggantikan lagu pertama negeri Cantik Manis

Beliau turut menggubah banyak lagu patriotik seperti Inilah Barisan Kita, Malaysia Berjaya dan Perajurit Tanah Air.

Koleksi gambar peninggalan Allahyarham Saiful Bahri. Foto koleksi peribadi Qus Nafiah

Pengarang :