Suasana perayaan Hari Natal mula dirasai di Suria KLCC pada malam 24 Disember 2023, apabila sebuah replika pokok Krismas gergasi yang menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar ditempatkan di kawasan tersebut. Foto BERNAMA
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Dari oak ke pokok Krismas dan asal-usul Santa Claus

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Pokok Krismas yang menjadi hiasan lazim dalam sambutan Hari Natal di seluruh dunia termasuk Malaysia khususnya kalangan penganut Kristian bermula di Jerman pada abad kelapan.

Tradisi hiasan sedemikian diperkenal Biarawan Santo Boniface bagi menggantikan pohon oak yang menjadi sembahan penduduk yang mengamal paganisme.

Menurut Canselor Archdiocese Kuala Lumpur Clarence Devadass, legenda itu dikatakan menebang pokok oak tersebut untuk menghentikan pemujaan itu seterusnya menyeru mereka kepada agama Kristian.

Beliau kemudian dikatakan mengambil pokok fir di belakang pohon oak yang ditumbangkannya dan memberi gambaran lambang pohon kedamaian dan simbol kehidupan kekal.

“Kerana daunnya yang kekal hijau sepanjang tahun dan bagaimana ia meruncing ke atas (seolah-olah) menunjuk ke arah syurga,” katanya yang juga pengarah Pusat Penyelidikan Katolik kepada Selangorkini.

Amalan tersebut berkembang dan berevolusi mengikut peredaran masa. Pada kurun ke-16, penduduk Jerman Barat mula menghiaskan pokok itu dengan kekacang, buah epal dan biskut halia.

Budaya itu kemudian tersebar ke seluruh Eropah dan Amerika pada pertengahan abad ke-18. Penggunaan pokok tersebut juga dipopularkan orang kenamaan dan kerabat diraja pada kurun berikutnya.

Meski mengakui pokok itu hanya hiasan menjelang perayaan Krismas tetapi Clarence menegaskan ia juga “suatu simbol Krismas yang membawa makna mendalam” dan “bukan dekorasi semata-mata”.

“Hiasan pada pokok Krismas dan hadiah di bawah pokok itu berkembang selama bertahun-tahun. Kebanyakan pokok Krismas ada bintang atau sudut di bahagian atas.

“Ia menandakan bintang baru yang muncul ketika Jesus dilahirkan,” katanya yang turut mengakui pemasangan pokok Krismas di rumah penganut Kristian tidak wajib, bukan sebahagian dari agama.

Santa Claus

Pada masa ini, sebahagian penganut Kristian di Malaysia memasang pokok Krismas baik yang tiruan mahupun pohon asli dengan disertai pelbagai hiasan tambahan.

Situasi hampir sama juga berlaku dalam kisah popular iaitu Santa Claus, lelaki berpakaian serba merah yang membawa aneka hadiah kepada kanak-kanak menjelang sambutan Krismas.

Ia dikatakan bermula daripada kisah Saint Nicholas, bishop dari Bari, Itali yang pemurah, baik hati dan sentiasa merendah diri. Beliau dikatakan membelanjakan kekayaannya untuk membantu orang lain.

Namun, Clarence menganggap gambaran Santa Klaus duduk di kereta luncur salji sambil ditarik beberapa ekor rusa ketika mengagihkan hadiah kepada kanak-kanak mitos semata-mata.

“Tetapi mesejnya mustahak iaitu kita harus berkongsi anugerah dan rezeki Tuhan antara satu sama lain, terutama sekali dengan golongan kurang bernasib baik.

“Kisah itu menjadi teladan kepada penganut Kristian untuk saling berkongsi dan memberi antara satu sama lain terutama kepada yang sangat memerlukan terutama dalam musim Krismas,” katanya sempena sambutan Hari Krismas.

Koh Eng Hor

Tinjauan Selangorkini pada 14 hingga 16 Disember mendapati pokok sedemikian mudah didapati di kebanyakan pusat beli-belah dan kedai tertentu sama ada sebagai produk jualan ataupun sekadar hiasan.

Pengurus kedai LJ Beauty Nail di Subang Parade, Subang Jaya Lucy Joseph menjelaskan simbol pokok Krismas dan lampu membawa maksud kegembiraan apabila Jesus dilahirkan.

Pengurus Kedai Butik Penjual Barangan Kelengkapan Dapur/Rumah di Sunway Pyramid, Subang Jaya juga menganggap pokok itu penting sebagai tanda sambutan hari kelahiran Jesus.

“Kalau kita letak, kita akan rasa sendiri (sambutan Krismas semakin hampir). Bintang di pokok itu (bermaksud) hendak beri kehidupan yang lebih baik,” kata Roy Yeem Ky.

Pekerja sambilan Morning Cafe, Seksyen 15, Subang Jaya pula menyifatkan perayaan Krismas tidak lengkap atau kurang meriah tanpa pokok berkenaan.

“Tidak bolehlah tidak ada pokok sebab ia perkara utama. Kalau tidak ada pokok, tidak cantik, tidak sempurna,” kata Koh Eng Hor lagi.


Pengarang :