Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis Penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA pada 7 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri azam teruskan usaha perkasa pendidikan teknikal, Islam

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kerajaan negeri berazam memperkukuh tiga sektor dalam bidang pendidikan sekiranya terus diberi kepercayaan mentadbir Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara yang diperlu diperkemaskan ialah pendidikan teknikal dan vokasional, menangani masalah kelulusan mata pelajaran Sains dan Matematik serta memperkasa pendidikan Islam.

“Ketika ini bidang teknikal dan vokasional amat bernilai tinggi dan ia bagaimanapun masih perlu diperkemas di segenap peringkat.

“Selepas ini kita akan turun di peringkat sekolah menengah supaya pelajar-pelajar yang cemerlang dan berminat ini masuk bidang teknikal dan vokasional,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap di majlis penyerahan program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvesyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Amirudin berkata sejak 10 tahun lalu, Selangor menghadapi isu kekurangan tenaga kerja mahir atau pakar dalam bidang kejuruteraan dan ia didorong oleh faktor tiada bakat baharu yang boleh digilap di peringkat sekolah.

“Kita perlu buat sesuatu. Kita akan perkukuh dan terlibat dengan sekolah kerana ini zaman sains dan teknologi.

“Kita mahu bantu pelajar atau anak-anak kita yang tiada asas dalam Sains dan Matematik, kemungkinan kemajuan pembangunan kita akan diisi oleh orang lain dan kita akan ketinggalan,” katanya.

Ahli Parlimen Gombak itu juga mengumumkan akan memperkenal silibus baharu pengajian Islam selewat-lewatnya awal tahun hadapan, rentetan kejayaan penganjuran Festival Turath Islami, baru-baru ini.

Jelasnya, Kerajaan Negeri juga mahu menambah baik kemudahan, cara pengendalian serta proses kelulusan kepada semua sekolah agama persendirian di Selangor.

“Saya beri jaminan kepada gabungan sekolah-sekolah swasta ini, selepas kita selesai sekolah tahfiz, kita akan pergi dan bantu mereka dapatkan pengesahan.

“Sekolah yang belum sempurna pendaftarannya, kita tidak niat mahu tutup, tetapi kita akan perkukuh pendidikan agama dan pastikan mereka selamat dan dapat didik anak-anak kita,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA pada 7 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :